kebersihan

Kebersihan sebahagian daripada iman.

Firman Allah bermaksud:
“…Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersih dirinya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 222).
Sabda Rasulullah saw bermaksud:
“Kebersihan adalah separuh daripada iman”.
(Riwayat Muslim).
Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Ia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”
(Riwayat Al Bazzar).

Justeru adalah amat wajar kita menjaga kebersihan diri, termasuk dikenakan wangi-wangian supaya tidak berbau busuk. Begitu juga menjaga kebersihan dalam rumah, dalam bilik air, luar dan di pekarangan rumah. Kebersihan sebenarnya adalah lambang peribadi seseorang.

Nabi Muhammad saw amat mengambil berat soal kebersihan berpakaian, sehingga baginda dilihat menjadi seorang sentiasa kemas dan bergaya.
“Sesungguhnya kamu akan datang (menemui) saudara kamu, oleh itu perbaikilah ar rihal (alat kelengkapan kenderaan yang diguna ketika menunggang kuda) dan baguslah semua pakaian kamu sehingga kamu kelihatan menarik, hebat dan berhemah di kalangan manusia.
Ini kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada busuk dan sangat buruk.”
(Riwayat Abu Daud dan Al Hakim).

Bilik tidur adalah bilik utama.
Ia ruang peribadi diri. Jika bilik tidur tidak kemas, bersepah dengan bantal, cadar dan kain selimut tidak berlipat, berlonggok sana-sini, sampah-sarap tidak disapu, maka melambangkan peribadi yang tidak bersih.

Bilik air merupakan ruang peribadi kedua selepas bilik tidur. Sudah tentu kebersihan bilik air sangat penting untuk keselesaan kita menggunakannya. Juga tempat yang digunakan untuk mengambil wudhu’. Kebersihannya perlulah diutamakan.

Ruang dapur bukan saja perlu sentiasa bersih, malah disusun kemas, supaya tidak mudah mengundang bahaya kepada ahli rumah. Ada kajian menunjukkan bahawa antara tempat yang mudah terdedah kepada bahaya ialah bahagian atau ruang dapur.

Ruang makan/ruang tamu turut menjadi bahagian penting dalam sesebuah rumah. Ini kerana bahagian ruang tamu menjadi pemerhatian pertama dan awal apabila ada tetamu yang datang. Ruang makan pula adalah ruang kita menjamu selera. Justeru ruang tamu perlu sentiasa dalam keadaan teratur dan kemas. Ini kerana tetamu yang datang perlu dijaga hati dan perasaan mereka.

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:
“…bersihkanlah halaman dan pekarangan rumah kamu daripada kotoran dan sampah- sarap. Janganlah kamu menyerupai rumah orang Yahudi.”
(Riwayat At Tirmizi).

Khatib Al Baghdadi meriwayatkan;
“Sesungguhnya Islam itu bersih. Oleh itu, jagalah kebersihan, tidak ada yang masuk syurga melainkan orang yang bersih”.

No comments:

Post a Comment